Penghinaan mahkamah di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Penghinaan adalah suatu perasaan yang kuat terhadap sesuatu yang tidak disukai dan kurangnya pertimbangan atau penghormatan terhadap sesuatu perkara. Dalam konteks undang-undang, terma ini biasanya merujuk kepada "penghinaan mahkamah" atau "contempt" yang secara langsung menggambarkan ketidakpatuhan atau penyalahgunaan terhadap mahkamah. Perbuatan penghinaan itu sendiri secara umumnya difahami sebagai campur tangan daripada pihak luar mahkamah terhadap sebarang prosiding atau urusan mahkamah.[1] Ketidakpatuhan ini sering dikawal dengan undang-undang atau peraturan perlakuan yang perlu dipatuhi apabila campur tangan atau terlibat dalam sebarang situasi undang-undang dengan mahkamah. Setiap negara mempunyai pemahaman atau peraturan yang berbeza tentang apa yang dianggap sebagai campur tangan atau penghinaan terhadap mahkamah kerana gaya pemerintahan negara yang berbeza menghasilkan sistem undang-undang dan cara prosiding mahkamah yang berbeza.

Kaedah Hukuman Penghinaan Mahkamah[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, penghinaan diberikan oleh undang-undang tetapi belum ditakrifkan atau dikodifikasikan dalam bentuk suatu akta, walaupun mahkamah masih mempunyai kuasa untuk memutuskan situasi yang mahkamah anggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah. Perbuatan penghinaan terhadap mahkamah mudah difahami sebagai perbuatan salah terhadap mahkamah di mana campur tangan secara langsung terhadap keputusan hakim dan pentadbiran perkara undang-undang sedang dipengaruhi. Mahkamah boleh menentukan hukuman ini menerusi budi bicaranya dengan melihatkan kepada pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi hasil pembuktian kes tersebut. Antara faktor yang dititikberatkan adalah tahap keseriusan pelanggaran tersebut, kesan daripada pelanggaran dan niat yang dimaksudkan oleh pesalah penghinaan mahkamah tersebut. Penghinaan mahkamah biasanya dihukum dengan denda dan juga penjara bagi mengekalkan hak mahkamah untuk pendapat undang-undang dan urusan yang sedang berlangsung. Penghinaan tidak boleh dikelirukan dengan peraturan subjudis yang merupakan perbuatan membatasi komen dan pendedahan mengenai prosiding kehakiman untuk memastikan ia tidak mempengaruhi keputusan mahkamah atau juri. Tindakah menghukum pesalah penghinaan mahkamah adalah disebabkan untuk menjaga reputasi dan kesucian darjat mahkamah yang dilihat sebagai sebuah dewan yang mulia di sisi undang-undang. Meskipun mahkamah mempunyai kuasa ini, mereka masih terikat dengan prosedur kehakiman di mana setiap pesalah akan dihadapkan ke mahkamah rendah dan dibicarakan kemudian diberi peluang untuk dibahas oleh peguam serta dibela mengikut justifikasi masing-masing. Tertuduh juga boleh merayu hukuman ke peringkat mahkamah tinggi jika dirasakan munasabah atau ada keperluan yang penting untuk berbuat demikian

Klasifikasi Jenis Penghinaan Mahkamah[sunting | sunting sumber]

Penghinaan boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis penghinaan seperti sivil, jenayah, penghinaan umum, penghinaan proses mahkamah serta penghinaan perintah mahkamah. Dilihat bahawa penghinaan sivil adalah perbuatan tidak mematuhi perintah atau garis panduan, manakala penghinaan jenayah lebih serius dan melibatkan situasi dan kejadian di mana mahkamah dicemuh melalui percubaan fizikal untuk memperkecilkan, merendahkan mahkamah, atau malah serangan fizikal terhadap proses undang-undang dan hakim. Penghinaan umum merujuk kepada tindakan menghina mahkamah secara terbuka dengan mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan integriti, otoriti dan kuasa mahkamah itu sendiri. Kenyataan hinaan yang merendahkan integriti mahkamah juga jatuh di bawah kategori ini. Penghinaan proses mahkamah merujuk kepada penggunaan proses mahkamah untuk menyebelahi diri untuk mengelat atau mengelak daripada hukuman dijatuhkan serta tindakan berniat jahat untuk merugikan mahkamah dengan menuduh atau memanipulasi kenyataan atau tindakan mahkamah itu sendiri. Penghinaan perintah mahkamah merujuk kepada tindakan secara sengaja mengabaikan arahan atau suruhan mahkamah kerana hal ini menyebabkan orang ramai memandang enteng atau mengambil remeh arahan mahkamah justeru menjurus kepada umum tidak menghormati otoriti mahkamah sendiri.

Penghinaan dengan mudah melibatkan ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah, memperlekehkan mahkamah, campur tangan dengan mereka yang terlibat dalam prosiding undang-undang, dan penghinaan terbuka terhadap mahkamah, menjadikan penghinaan sebagai kumpulan aktiviti tertentu yang dilarang secara konsisten oleh mahkamah. Seseorang perlu memahami bahawa walaupun kebebasan bersuara dan kebebasan individu masih menjadi hak yang dimiliki, mereka tidak boleh campur tangan dalam perkara undang-undang kerana batasan-batasan diletakkan untuk memastikan sistem keadilan dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan mengikut panduan yang ditetapkan. Ini dapat diilustrasikan dengan kata-kata Lord Justice Salmon dalam kes Ex Parte Blackburn (No 2) [1968] 2 QB 150 di mana beliau menyatakan bahawa komen mengenai suatu keputusan walaupun keras tidak boleh secara mudah dianggap sebagai penghinaan jika mematuhi batasan yang munasabah dan dibuat dengan niat baik, yang lebih memperkuat konsep terdapat batasan terhadap kebebasan bersuara

Permasalahan perihal penghinaan mahkamah di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Penghinaan, walaupun merupakan peraturan yang diperlukan untuk memastikan prosiding mahkamah dijalankan dengan lancar, juga telah menjadi subjek kontroversi dan kes-kes ternama di Malaysia di mana terdapat pola yang agak tidak sekata dalam penuduhan penghinaan terhadap individu dan institusi. Ini berkait rapat dengan fakta bahawa Malaysia hanya bergantung kepada peruntukan undang-undang untuk mengawal perlanggaran penghinaan mahkamah. Buat masa ini, peruntukan undang-undang yang ada dalam konteks ini termasuk Perenggan 26 Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948 untuk Mahkamah Majistret dan Sesyen, dan Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 & Artikel 126 Perlembagaan Persekutuan yang terpakai bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan. Ketidakkodifikasian undang-undang yang khusus mengakibatkan definisi dan kuasa yang terhad, meninggalkan lebih banyak kuasa kepada mahkamah untuk menentukan apa yang dianggap sebagai penghinaan dan apa yang bukan.[2]

Ian Seiderman, Pengarah Undang-undang dan Dasar Komisi Antara Bangsa (ICJ), telah mengkritik doktrin penghinaan mahkamah Malaysia yang sangat memerlukan reformasi kerana tidak sesuai dengan standard hak asasi manusia.[3] Komentar ini dibuat sebagai respons terhadap gangguan terhadap Charles Hector, seorang peguam yang mewakili lapan penduduk dari Jerantut, Pahang yang sedang menjalani tuntutan sivil terhadap Beijing Million Sdn Bhd dan Rosah Timber & Trading Sdn Bhd, syarikat-syarikat pembalakan yang mengancam untuk memulakan proses penghinaan terhadap Hector dan wakilnya atas surat yang dikirimkannya kepada Pejabat Daerah Jerantut. Masalah seperti ini dapat dielakkan jika terdapat definisi yang jelas mengenai penghinaan mahkamah serta peraturan prosedural yang konsisten yang tidak hanya bergantung pada budi bicara mahkamah semata-mata.

Bar Malaysia sejak tahun 1999 juga telah bersuara tentang perkara ini di mana semasa Persidangan Agung Tahunan ke-53 ("AGM"), terdapat seruan untuk "spesifikasi yang jelas dalam bentuk undang-undang mengenai lingkup dan kadar hukum penghinaan" dan bahawa "hukuman penjara sepatutnya tidak dikenakan bagi penghinaan mahkamah kecuali mungkin untuk kes yang paling serius". Ini diikuti dengan memorandum dan usul draf dengan niat undang-undang mengenai penghinaan mahkamah. Walaupun demikian, sehingga hari ini, masih belum ada undang-undang yang dikodifikasikan mengenai penghinaan mahkamah, yang mengakibatkan banyak situasi yang tidak jelas mengenai apa yang dianggap sebagai penghinaan oleh mahkamah.

Status Quo Penghinaan Mahkamah di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana Akta Parlimen yang telah menakrifkan frasa penghinaan mahkamah. Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa mahkamah-mahkamah Malaysia sebaliknya mengambil tanggungjawab untuk memberikan definisi, seperti dalam kes Monatech (M) Sdn Bhd v Jasa Keramat Sdn Bhd di mana Mahkamah Persekutuan menakrifkannya seperti berikut: "... Secara umumnya, penghinaan mahkamah boleh dikatakan terbentuk oleh sebarang tingkah laku yang cenderung untuk merendahkan atau mengabaikan kuasa dan pentadbiran undang-undang, atau campur tangan dengan atau merugikan pihak-pihak, pihak-pihak yang terlibat, saksi-saksi mereka semasa prosiding undang-undang".[4] Definisi ini menggambarkan pandangan umum mahkamah bahawa penghinaan adalah campur tangan dalam proses pentadbiran keadilan yang lebih jauh memperluas skop interpretasi. Mengenai kuasa untuk mendakwa seseorang di bawah tuduhan penghinaan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan, dan Mahkamah Khas diberikan kuasa untuk menghukum, namun tidak ada undang-undang atau peraturan yang menyatakan batasan hukuman dengan tiada hukuman minimum atau maksimum, dengan itu meninggalkan keputusan kepada mahkamah untuk menentukan keparahan hukuman mereka.[5] Mahkamah akan menilai keseriusan perkara dengan merujuk kepada campur tangan yang berterusan terhadap pentadbiran keadilan selaras dengan masalah yang belum diselesaikan atau dikurangkan. Kes yang kurang serius mungkin hanya akan dikenakan denda, namun tidak ada batasan jumlah denda dalam undang-undang Malaysia. Di Malaysia, penghinaan juga dilihat wujud dalam bentuk khusus seperti ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah, pelanggaran jaminan, dan memfitnah mahkamah. Mengenai ketidakpatuhan, kes MediaCorp News Pte. Ltd. & Ors. v. MediaBanc (Johor Bahru) Sdn. Bhd. & Ors. adalah kes di mana hakim Azahar Mohamed menyatakan bahawa itu adalah ketidakpatuhan terhadap mahkamah apabila pihak yang bersangkutan dengan sengaja mengabaikan perintah mahkamah. Pelanggaran jaminan, atau pelanggaran janji kepada mahkamah, adalah perbuatan penghinaan dalam sifatnya di mana apabila seseorang melanggar janji, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengancam menahan peguam sebagai penghinaan, seperti yang tersirat dalam ucapan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' VC George.

Perbandingan Kelebihan Undang-Undang Penghinaan Mahkamah di Malaysia dengan Akta Penghinaan Mahkamah 1981 (United Kingdom)[sunting | sunting sumber]

Undang-undang di Malaysia berasal daripada common law atau undang-undang Inggeris di mana kebanyakan legislatif Malaysia adalah berdasarkan atau dirujuk kepada sistem common law. Meskipun begitu ianya terhad kepada undang-undang UK setakat tahun 1957. Ini menyebabkan Malaysia sedikit ketinggalan daripada sistem di UK yang hanya memperkenalkan akta spesifik beserta pendefinisian bagi kesalahan penghinaan mahkamah.

Persamaan pertama antara kedua sistem adalah bahawa kedua-duanya mengiktiraf kewujudan penghinaan dalam konteks Sivil dan Jenayah. Di Malaysia, penghinaan sivil telah diiktiraf dalam banyak kes, contohnya adalah dalam kes Edmund Ming Kwan @ Kwaun Yee Ming, Edmund v Extra Excel (Malaysia) Sdn Bhd & Ors di mana alasan penghinaan tersebut adalah pernyataan yang disengaja dan dengan sengaja yang menyesatkan yang dibuat oleh pihak tersebut dalam afidavit mereka. Demikian juga, dalam kes Inggeris Linwood v Andrews and Moore (1888) 58 LT 612, pihak tersebut didakwa dengan penghinaan sivil kerana menyusun afidavit yang tidak benar dan mengemukakannya kepada mahkamah. Konsep penghinaan sivil itu sendiri serupa di mana kedua sistem undang-undang memahaminya sebagai tindakan ketidakpatuhan terhadap perintah atau keputusan yang melibatkan proses undang-undang mahkamah, khususnya tindakan gagal mematuhi perintah atau menahan diri dari bertindak sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.

Penghinaan jenayah juga terlihat dalam undang-undang Malaysia dengan kes Peguam Negara Malaysia v Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Lain-Lain [2020] 4 MLJ 791 di mana penerbitan MalaysiaKini tentang komen yang menghina mahkamah dalam bahagian komen mereka mengakibatkan tuduhan penghinaan jenayah kerana ia mencemarkan martabat proses pentadbiran keadilan. Demikian juga, dalam kes Inggeris Attorney General v Times Newspapers Ltd [1973] 3 All ER 54, tuduhan penghinaan jenayah juga dikemukakan terhadap pihak yang menerbitkan artikel panjang menentang Distillers Co yang menghadapi tuduhan oleh mahkamah dalam perkara yang sama. Tindakan akhbar tersebut untuk mengulas mengenai prosiding yang sedang berlangsung berpotensi mencetuskan kemungkinan memprejudiskan perbicaraan yang adil terhadap kes tersebut dan oleh itu menjadi penghinaan jenayah yang mempengaruhi keupayaan mahkamah untuk menyampaikan keadilan.

  1. ^ https://malaysianlitigator.com/2020/09/23/circumstances-which-may-constitute-a-contempt-of-court/
  2. ^ https://www.icj.org/the-aftermath-of-the-malaysiakini-decision/
  3. ^ https://www.icj.org/malaysia-contempt-of-court-action-abused-to-harass-human-rights-lawyer-charles-hector/
  4. ^ Vijayalakshmi A. V, & Hassan K. H, ‘The Law of Contempt of Court in Malaysia: Considering Reforms’ (2012) Advances in Natural and Applied Sciences, 6(8): 1451-1464
  5. ^ Vijayalakshmi A. V, & Hassan K. H ‘Judicial Approaches in Balancing Freedom of Speech and Contempt of Court in Malaysia’ (2013) Medwell Journals of Applied Sciences 8(9): 456-460